Diesel RM227,500 dalam kapal tangki dirampas
Miri: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 merampas 130,000 liter diesel bernilai RM227,500 dari sebuah kapal tangki di perairan Miri, semalam.
Komandernya Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, sepasukan anggota PPM Wilayah 5 menahan kapal tangki berkenaan selepas didapati mencurigakan pada 10 malam.
Menurutnya, ketika itu kapal terbabit difahamkan dalam perjalanan menuju ke muara Sungai Miri.
"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kapal terbabit menemui sejumlah diesel yang disimpan dalam empat tangki di bahagian dek.
"Seorang lelaki dipercayai kapten kapal berusia 40 tahun dan empat kru turut ditahan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kapten kapal itu turut gagal mengemukakan sebarang dokumen sah bagi memiliki, menjual atau membawa bahan api terbabit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
"Kes berkenaan diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan mengikut
Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
